Thursday, December 20, 2007

Erti Sebuah Pengorbanan Di Aidil Adha

Alhamdulillah...syukur kehadrat Ilahi kerana dapat menyambung lagi catatan diari Bait Al-Amin. Syukur alhamdulillah majlis ibadah korban yang berlangsung di Bait Al-Amin pada hari ini berjalan dengan lancar.Hari ini anak-anak Bait Al-Amin menerima kunjungan para tetamu yang bersama-sama turut serta dalam menjalani ibadah korban bersama anak-anak Yatim. Meriah sungguh hari ini...baik yang muda atau pun yang tua bertali arus berkunjung ke Bait Al-Amin.Hari ini anak-anak Bait Al-Amin bersiap sedia seawal pagi tak sabar-sabar nak menunaikan solat raya dan ibadah korban..Tepat jam 10.30 pagi tamatlah riwayat 2 ekor Lembu dan seekor kambing ditumbangkan..sikap muafakat para tetamu yang datang menyebabkan aku betul-betul rasa terharu...memang masih adanya sayang buat anak-anak di Bait Al-Amin.Buat para peserta Ibadah korban aku mengambil kesempatan disini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih diatas kesudian mereka untuk menunaikan ibadah korban di rumah anak-anak yatim.Paling membuat aku betul-betul terharu bila sebahagian para peserta ibadah korban tersebut adalah merupakan bekas-bekas pelajar XTI Penang..terima kasih atas sokongan kalian. Buat Sahabatku Suhaily dan Zaiton serta anakanda kesayangan Mohd. Nafis terima kasih kerana sanggup datang dari Pulau Pinang ke Teratak Bait Al-Amin bagi memeriahkan lagi ibadah korban. Syukur Alhamdulillah sehingga petang tadi..rezeki daging korban buat anak-anak ni tak putus-putus, lantas aku, abie dan anak-anak Bait Al-Amin turut menziarahi anak-anak yatim diluar asrama dan juga warga miskin diluar sana untuk menghulurkan rezeki yang Allah kurniakan buat kami kepada mereka juga...tersentuh hati aku bila mengunjungi salah sebuah keluarga miskin..tidak ada apa yang dinikmatinya pada lembaran Aidiladha, jangan katakan daging korban..beras pun sudah kehabisan..kebetulan kunjungan anak-anak Bait Al-Amin petang tadi untuk menyerahkan daging korban, menyebabkan air mata sifakir tersebut jatuh juga kebumi...tanda kesyukurannya ke atas ilahi. Dalam hati aku mengeluh...kenapa masih ada insan sepertinya dibiarkan tanpa pembelaan apatah lagi pada lembaran Aidiladha kali ini...mana jiran-jiran tetangga yang sepatutnya turut membantu...sesungguhnya kami anak-anak Bait Al-Amin bukanlah insan yang berharta untuk membantu...namun kami turut menyelami disudut hati kecilnya...

Wednesday, December 19, 2007

Selamat Hari Raya Korban

Assalammualaikum
Kami Selaku Pentadbir Dan Juga Anak-anak Yatim Dan Warga Miskin Bait Al-Amin Ingin Mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Korban Buat Semua Muslimin Dan Juga Muslimat Terutama Sahabat-sahabat Yang Bersudi Bertandang Ke Blog Bait Al-Amin.
SALAM AIDIL ADHA
DARI
ANAK-ANAK BAIT AL-AMIN

Saturday, December 15, 2007

Children Of Heaven ---> Pasti Menyayat Hati..lihatlah.


Assalammualaikum...Salam Kembali, terlebih dahulu aku nak mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih buat sahabat-sahabat diluar sana yang telah sudi menghantar email pada aku menyatakan keperihatinan mereka terhadap anak-anak di Bait Al-Amin...Memang benar apa yang aku coretkan dalam blog ini..lahirnya dari isi hati aku..betapa kehidupan mereka seharian sentiasa dalam rutin kehidupan ku...terimakasih juga kepada mereka yang sudi menghantar sms kepada ku menyatakan sokongan dan salam buat anak-anak Bait Al-Amin....Percayalah, ku coretkan kata-kata di blog ini bukannya untuk meminta-minta dan meraih simpati...namun aku punya hati untuk mencoretkan sesuatu buat anak-anak disini...kerana aku percaya disana masih ada yang sayang...dan sentiasa disayang..dan yang pastinya ada yang sayang. Terima kasih buat Saudara Ahmad Amirul di atas penghargaan yang diberikan pada anak-anak Bait Al-Amin melalui blog http://blogduit.blogspot.com ..aku cukup menghargainya.

Tak tau kenapa dua tiga hari ini aku teringatkan Ikmal dan Iskandar dua orang anak yatim yang aku hantar balik ke kg. tempoh hari bersama dengan dua orang lagi abangnya...entah apa yang diaorang buat di rumah tatkala ibunya bekerja dari seawal pagi hingga ke malam...kalau ikutkan hati sepanjang cuti persekolahan tak nak rasaanya untuk aku hantar mereka balik...biarkan mereka di asrama, banyak perkara yang berfaedah boleh diajarkan..namun aku tak mahu nak pisahkan kasih anak dan juga ibunya...biarpun ibu mereka terlalu sibuk dengan mencari rezeki...setidak-tidaknya mereka ada ibu. Semalam selepas solat magrib aku dan Abie pergi ke Kuala Kurau untuk menjemput mereka.Seperti yang telah diduga rupanya telah lama mereka menanti untuk diambil. Sebaik kelibat van Bait Al-Amin sampai di hadapan rumah berlari-lari dengan beg yang digendong mendapatkan kami. Tangan ibu yang kebetulan baru pulang dari kerja malam tu dicium sebelum anak-anak ni berangkat pergi...sebaik sahaja Van Bait Al-Amin meninggalkan teratak usang anak-anak ni....terpancul suara Ikmal yang baru berumur 7 Tahun..."Ayah...laparlah...nak makan nasi".... Ya Allah, anak-anak ni kelaparan rupanya, sebelum sampai di asrama jam 12.00 tengah malam sempat aku menyuruh abie berhenti di kedai makan agar anak-anak ni tidak lagi kelaparan.


Sebelum aku memulakan coretan dalam blog ini sebentar tadi , aku menerima sms dari seorang sahabat lama meminta untuk aku melihat satu kisah kehidupan "Children Of Heaven"...melalui link add yang diberi. Memang menyayat hati , cerita yang diarahkan oleh Seorang Pengarah terkenal dari Iran Majid Majidi. Menceritakan bagaimana kemiskinan hidup satu keluarga yang mempunyai dua orang anak bernama Ali dan Zahra mengharungi kehidupan seharian dengan penuh tabah.Paling aku tersentuh apabila Ali dan Zahra terpaksa berkongsi kasut untuk kesekolah...walaupun mereka miskin anak-anaknya tetap cemerlang dalam pelajaran...Terfikir sejenak aku...kalaulah aku ada masa tu, pasti akan kubelikan kasut untuk mereka....dan bersyukurnya aku, kerana anak-anak ku di Bait Al-Amin masih lagi dimurahkan rezeki walaupun untuk mendapatkan sepasang kasut...Alhamdulillah.
Buat sahabat-sahabat yang ingin menonton cerita ini boleh layari melalui link add yang telah diberikan oleh sahabat aku melalui http://tranungkite.wordpress.com/2007/12/07/video-klip-children-of-heaven/ bertapa bersyukurnya kita pada hari ini.

Monday, December 10, 2007

Kalian Juga Boleh Wahai Anak-anak ku...

Alhamdulillah....syukur ke hadrat Ilahi, sesungguhnya dapat juga aku menyiapkan Galeri Album anak-anak Bait Al-Amin.Sedikit sebanyak perjalanan hidup anak-anak yatim dan warga miskin semasa menumpang teduh dari panas dan hujan di Bait Al-Amin.Kesedihan yang mereka lalui selama ini..pasti aku juga turut merasainya, namun kegembiraan buat diri mereka pasti aku juga akan turut merasai kegembiraannya. Bila satu persatu gambar yang aku cuba upload di Galeri Album Bait Al-Amin mengiringi memori yang aku rasa sangat berharga dan cukup indah bersama anak-anak tersebut.Ketika tangan aku mencoretkan sesuatu di blog ini...pasti mereka sedang bergembira menghabiskan sisa-sisa cuti akhir persekolahan.InsyAllah semperna hari raya korban nanti, semuanya akan berkumpul semula di Teratak Bait Al-Amin kerana tanggal pada masa tersebut kita sama-sama akan melakukan ibadah korban di Bait Al-Amin. InsyaAllah juga aku dan anak-anak Bait Al-Amin akan bertolak ke Kelantan dengan sebuah bas pada hari raya haji yang ke tiga bagi meraikan walimah perkahwinan Khairul Hazwan Bin Hashim yang mana beliau juga merupakan salah seorang anak yatim piatu. Alhamdulillah syukur kehadrat Allah ...Aku cukup merasa puas, bila melihat beliau berjaya ke menara gading dan kini akan membina hidup baru bagi dirinya...tidak ada apa-apa yang aku pinta pembalasan darinya cukuplah beliau dapat membawa dirinya menjadi manusia yang amat berguna...yang pasti perjalanan hidupnya masih terlalu jauh untuk diharungi.....buat anak-anak ku di Bait Al-Amin kalian juga boleh...aku pastiiii.
Galeri Album Bait Al-Amin:--> http://picasaweb.google.com/baitalamin

Sunday, December 09, 2007

Kuwait Finance House -->Terima Kasih Daun Keladi

Alhamdulilillah....syukur atas nikmat yang Allah kurniakan sehingga hari ini. Lama juga aku tak mencoretkan sesuatu di sini.Masa yang agak terbatas ditambah pula dengan urusan kerja yang perlu aku lakukan membuatkan catatan aku di sini terhenti sekejap...1hb December 2007 yang lepas alhamdulillah anak-anak Bait Al-Amin dijemput untuk satu majlis Jamuan Makan Malam bersama Kelab Sukan "Kuwait Finance House" dari Kuala Lumpur bertempat di Damai Resort Teluk Senangin Lumut. Pada asalnnya konvoi lebih 50 buah kereta "Kuwait Finance House" bercadang untuk berkunjung ke Bait Al-Amin...namun untuk mengembirakan anak-anak tersebut..pihak mereka menjemput anak-anak Bait Al-amin turut sama memeriah majlis jamuan makan malam di Damai Laut Resort.Jelas terpancar kegembiraan buat anak-anak Bait Al-amin pada hari tersebut, walau pun tidak semua yang dapat hadir kerana ramai yang dah balik bercuti..namun lebih 35 orang anak-anak yatim Bait Al-Amin dapat kita kumpulkan pada hari tersebut..Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak terutama buat En. Mudzafar wakil "Kuwait Finance House" yang telah bersusah payah menguruskan dan menjemput pihak kami pada pada majlis tersebut. Terima kasih juga buat semua kakitangan "Kuwait Finance House" atas layanan mesra yang diberikan kepada anak-anak Bait Al-Amin...Sumbangan dan hamper2 yang dihulurkan pada malam tersebut amat bermakna buat Anak-anak kami di Bait Al-Amin...Buat semua kakitangan "Kuwait Finance House", terima kasih daun keladi...InsyaAllah kalau ada masa kita jumpa lagi...

Thursday, November 29, 2007

Melakar Cinta Di Pintu Syurga


Alhamdulillah..bertemu lagi di sini,..terfikir sekejap apa yang nak aku coretkan ketika ini...ha baru aku teringat akan kunjungan kumpulan nasyid FAR EAST baru-baru ni sebelum cuti sekolah bermula.
Alhamdulillah...aku nak mengambil kesempatan di sini nak ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada kumpulan nasyid Far East kerana sudi bertandang ke teratak usang Bait Al-Amin.
Sesungguhnya kedatangan Far East ke Bait Al-Amin memang dinanti-nantikan oleh anak-anak di sini.Terpancar kegembiraan yang amat sangat bila Fadzli, Nabil, Wan, Man dan abag Itolara sempat beramah mesra dengan anak-anak disini walaupun mereka agak keletihan dengan jadual yang begitu padat. Sehari sebelum Far East berkunjung ke Bait Al-Amin, anak-anak Bait Al-Amin telah bertolak ke Ipoh untuk menyaksikan konsert Far East semperna Bulan Penghayatan Islam di Politeknik Ungku Omar.Jelas terpancar kepuasan di hati anak-anak tersebut.Alhamdulillah seperti yang dijanjikan pada keesokan harinya Far East bercadang untuk menziarahi anak-anak di Bait Al-Amin...kunjungan mereka memang aku alu-alukan, aku mengambil kesempatan untuk menjemput mereka makan tengahhari bersama anak-anak di Bait Al-Amin turut serta seramai 40 orang pelajar Tahfiz Al-Quran yang aku jemput.Hidangan masakan kampung memang menambah selera mereka hendak pula menu utama Gulai Tempoyak ..bertambah-tambah abang Itolara.
Selepas Solat Zohor yang diimamkan oleh Nabil, anak-anak disini mengambil kesempatan untuk mengenali abang-abang Fareast dengan lebih dekat lagi...Alhamdulillah, Far East tidak keberatan untuk menyampaikan beberapa lagu yang diminta sendiri oleh anak-anak disini.Lagu "menanti di alam barzah" pastinya menjadi pilihan anak-anak disini. Tengok aja tirai langsir tempat Far East menyanyi semuanya dipersiapkan oleh anak-anak Bait Al-Amin..Alhamdulillah sebelum Far East meninggalkan anak-anak disini banyak kata-kata semangat ditinggalkan buat anak-anak agar mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah yang berguna satu hari nanti..terima kasih abg Itolara atas pemberian CD tempoh hari.Akhir coretan aku..sekali lagi nak mengucapkan berbanyak-banyak kepada Far East yang sudi menziarahi kami di sini.Buat juniorku Fadzli...sesungguhnya aku cukup berbangga denganmu..Buat Abang Itolara...terima kasih banyak-banyak atas keluaran album khas untuk membantu anak-anak yatim di Bait Al-Amin dengan "Melakar Cinta Di Pintu Syurga"....

Wednesday, November 28, 2007

Terima Kasih Abang Long..dari adik-adik Bait Al-Amin.


Abang Zul duduk ditengah-tengah diapit oleh Iswandi dan Faizal.

Alhamdulillah...sambung lagi catatan aku di blog ini. Dah dua hari tak mencoretkan sesuatu di sini...agak sibuk sedikit dengan urusan kerja yang perlu diselesaikan. Alhamdulillah progress kerja di tapak berjalan lancar mengikut jadual yang telah dirancang. Isnin baru ni hari terakhir abg zul (abg Sulong) menduduki paper bagi exam spm, harap-harap sepanjang exam tu dia dapat buat yang terbaik untuk dirinya...bagi aku hanya mampu berdoa dan memberi kata-kata semangat buat dirinya...terharu aku bila melihatnya sehari sebelum exam SPM bermula, dia minta kebenaran untuk menghubungi ibunya di Kedah.Terngiang-ngiang ditelinga aku..."Mak ini Zul ni, mak...esok Zul dah mula exam SPM..mak tolong Doakan Zul, ampunkan segala dosa Zul , halalkan makan minum Zul..."sambil air matanya berlinang membasahi pipi.Tapi aku pasti setiap hari tanpa jemu si ibu tetap mendoakan kejayaan buat anaknya.Ahmad Zulhilmi atau panggilan di Bait Al-Amin abang Zul, merupakan pelajar sulung yang menginap di sini...trajedi tsunami yang berlaku keatas keluarganya pasti tak akan pernah luput dalam ingatannya..menumpang kasih di Bait Al-Amin bersama seorang lagi adiknya Norshafiqah.Sesuai sebagai abang long di sini ianya menjadi contoh kepada adik-adik yang lain.Abg Zul banyak membantu secara tak langsung tanggungjawab aku di sini...menjadi imam kepada adik-adik yang lain, meluangkan masa mengajar mengaji bagi anak-anak bait al-amin yang lain, pandai menghormati orang yang lebih dewasa..penuh dengan adab dan sopan, bertanggungjawab dalam segala hal serta menjadi pembimbing kepada rakan-rakan yang lain...bagi aku terasa kehilangannya pada sessi persekolahan yang akan datang bila dia tak ada di Bait Al-Amin...mungkin dia perlukan masa yang banyak untuk diluangkan bersama ibunya di kampung sebelum result SPM keluar nanti...semoga berjaya dengan cemerlang abang Zul..Ayah, abie dan Umie tetap mendoakan kejayaan buat abang Zul.

Monday, November 26, 2007

Ini lah Dunia...

Alhamdulillah...bertemu lagi aku dalam blog ni, terima kasih buat sahabat-sahabat yang telah sudi menziarah ke blog Bait Al-Amin,..blog yang hanya baru setahun jagung, dapat juga aku bina walaupun aku bukan pakar dalam membina laman blog atau web ni...tapi dengan izin Allah terbina juga.
Sedar tak sedar dah hampir seminggu cuti sekolah berlalu...bagi aku terasa sangat kesunyiannya bila anak-anak Bait Al-Amin semuanya balik bercuti..cuma yang tinggal hanya 3 orang yang tak balik sebab dah tak ada arah tuju nak balik kemana. Biasanya saban hari bermula jam 5.00 pagi sampailah 11.00 Malam ada sahaja kerenah anak-anak ni yang perlu aku uruskan baik yang kecil sekali mahupun yang telah dewasa..kalau dah masuk waktu solat tu kalau ada yang lewat masuk surau...apa lagi bergegarlah suara ni tak payah nak pakai microphone. Kalau diaorang tak ada memang terasa sunyinya...tapi tak kisahlah, inilah masa anak-anak ni untuk merasa kasih sayang dari bonda mereka. Bagi aku walau pun anak-anak ni tak ada di asrama ketika ini...kerja-kerja aku banyak yang harus perlu aku selesaikan. Esok aku bercadang nak ke site tapak projek kat lenggong,..progress kerja kat tapak perlu juga aku kena ambik tau..bila teringat kes bangunan runtuh kat Tasik Banding baru-baru ni...satu pengajaran yang perlu aku ambil supaya ianya tidak berlaku pada diri aku.
Bila aku terpandang 3 orang anak-anak Bait Al-Amin yang ada kat Asrama ni...kesian sangat kat diaorang, dahlah anak yatim..macam tak ada waris yang ambil peduli...takpalah selagi ayah ada disinilah tempat kalian sebenarnya...belajarlah rajin-rajin mudah-mudahan menjadi orang yang berguna satu hari nanti...cuma yang aku risau bila diaorang dah berjaya nanti, takut ramai pulak waris yang mengaku saudara ...inilah dunia.

Sunday, November 25, 2007

Santai Sekejap..

Sekadar Bersantai Dan Rileks sekejap..
Kisah 1.
Sebaik sahaja mengambil tempat duduk di ruang menunggu sebuah klinik,Shan terpandang Amin sedang menangis teresak-esak. Dia segera mendekati Amin.
>Shan : Kenapa menangis?
> Amin : Saya datang untuk ujian darah.
> Shan : Awak takut ke?
> Amin : Bukan itu sebabnya. Semasa ujian darah dijalankan, mereka telah terpotong jari saya.(Mendengarkan penjelasan Amin, Shan menangis.)
> Amin : Eh, Kenapa pula awak menangis?
> Shan : Saya datang untuk ujian air kencing...
Kisah 2.
Seorang atok membawa cucunya ke pejabat pos untukmenghantar surat .. Cucunya bertanya bila melihat atoknya memasukkan surat ke dalam tong berwarna merah."Atok buat apa tu?"."Atok bagi surat kat kawan atok,cu!" jawap atoknya.Cucunya bertanya lagi, "Apa bangang sangat kawan atok duduk dalam tong merah tu?"
Kisah 3.
Seorang pegawai polis masuk ke bilik mayat sebuah hospital untuk menyiasat punca kematian tiga lelaki sekaligus. Selepas memeriksa mayat-mayat itu, dia bertanya kepada penjaga bilik berkenaan.
Polis : Mengapa ketiga-tiga mayat tersenyum?
> Penjaga : Lelaki pertama sedang bersanding, apabila tiba-tiba diserang strok.Lelaki kedua pula khabarnya menang loteri dan mati serangan sakit jantung manakala yang ketiga disambar petir.
> Polis : Hah! Kenapa disambar petir pun tersenyum?
> Penjaga : Masa tu dia ingat orang sedang ambil gambarnya...

Saturday, November 24, 2007

Majlis Qurban Dan Aqiqah 1428H/2007

Alhamdulillah...Syukur kehadrat Ilahi kerana masih lagi dipanjangkan usia untuk terus menikmati kehidupan di alam maya ini. InsyaAllah seperti tahun-tahun yang lepas Rumah Anak-anak Yatim Bait Al-Amin akan menganjurkan Majlis Ibadah Qurban Dan juga Aqiqah. Untuk tahun ini besemperna kedatangan Aidiladha, BAIT AL-AMIN sekali lagi turut serta dalam mengadakan Majlis Ibadah Qurban dan Aqiqah tersebut. Sehubungan dengan itu, pihak Bait Al-Amin mengalu-ngalukan muslimin dan juga muslimat yang ingin turut serta dalam majlis Ibadah Qurban tersebut.
Majlis Ibadah Qurban dan Aqiqah tersebut akan diadakan pada Hari Raya Haji pertama 2ohb December 2007 bertempat di perkarangan Rumah Anak-anak Yatim Bait Al-Amin. Bayaran yang dikenakan untuk satu bahagian adalah sebanyak RM350.00, Bayaran boleh dibuat selewat-lewatnya seminggu sebelum majlis tersebut diadakan kepada pihak pentadbiran Bait Al-Amin.Sebarang pertanyaan berhubung perkara tersebut muslimin dan muslimat boleh berhubung dengan pihak Pentadbiran Bait Al-Amin En. Rozelan Bin Zamzuri HP: 017-4013738 atau En. Norizan Bin Razali HP: o13-5074905.

Thursday, November 22, 2007

Aktiviti Anak-anak Bait Al-Amin

Disinilah tempat mereka berlindung dari panas dan hujan, disinilah tempat mereka menumpang kasih dan sayang...disini jugalah tempat mereka bermain seharian di waktu petang. Walaupun mereka bukan dari darah daging yang sama, namun keakraban sesama mereka jelas terpancar dalam satu keluarga yang besar. Walaupun terdengar jerit dan tawa hilai mereka...namun disudut hati mereka siapa yang tahu....

Anak-anak Puteri Bait Al-Amin mengaji Al-Quran setiap hari selepas solat Maghbrib dengan dibantu oleh seorang Ustazah. Apa yang aku harapkan agar mereka dapat menjadi anak-anak yang solehah mentaati perintah Allah dan juga ibu mereka yang tidak pernah mengira penat dan lelah demi mencari sesuap nasi untuk rezeki mereka.

Anak-anak Putera Bait Al-Amin juga turut mengaji Al-Quran setiap kali selepas Solat Maghbrib..walau sesibuk mana aku akan pastikan dapat mengajar mereka dan memberi masa buat mereka untuk mengaji Al-Quran...mudah-mudahan dapat mereka sedekahkan bacaan Al-Quran mereka buat ayahanda yang telah pergi buat selama-lamanya...mudah-mudahan mereka menjadi anak yang soleh.

Anak-anak Puteri Bait Al-Amin turut meluangkan masa di dapur untuk membantu Umie memasak dalam masa yang terluang terutama dihujung minggu.Mudah-mudahan mereka tidak janggal untuk ke dapur bila sudah menjangkau dewasa kelak.

Bagitu juga Anak-anak Putera Bait Al-Amin tidak melepaskan peluang untuk membantu Umie bagi kerja-kerja di dapur sekali-sekala. Mereka dapat merasakan penat lelah Umie memasakkan makanan mereka setiap hari dari pagi hingga malam....mudah-mudahan dengan bantuan yang dihulurkan dapat meringankan beban Umie.

Tabung Pembinaan Asrama

Alhamdulillah....bisa lagi aku mencoretkan bicara di ruangan ini.Alhamdulillah berkat bulan Ramadahan yang baru sahaja berlalu..atas sumbangan orang ramai, pihak Bait Al-Amin telah pun berjaya membeli sebidang tanah bersebelahan dengan asrama yang ada sekarang bagi tujuan Pembinaan Dua Blok Asrama Pelajar Dua Tingkat dan Satu Tingkat...Namun yang aku perlu usahakan sekarang ini untuk mendapatkan dana bagi tujuan pembinaan asrama tersebut yang melibatkan kos pembinaan sebanyak RM150,000.00.
Buat masa kini, anak-anak Bait Al-Amin tinggal di rumah kampung yang dijadikan Asrama pelajar.Namun rumah yang sudah agak uzur terutama dari segi pendawaian elektrik seringkali menghantui fikiran ku..mudah-mudahan tidak ada apa-apa kejadian buruk yang berlaku..namun aku sedar, itu sahaja yang termampu untuk aku sediakan buat anak-anak ku pada ketika dan di saat ini..namun aku bersyukur kalian memahami dan begitu tabah menginap di asrama tersebut...kalau hujan terlalu lebat anak-anak Bait Al-Amin sudah alah tegar lagi biasa.
Mudah-mudahan hasrat aku untuk melihat mereka tinggal ditempat yang lebih selesa akan tercapai juga...syukurlah anak-anak Bait Al-amin ini tidak merungut..kerana penghidupan asal mereka memang agak terlalu dhaif...adakala aku merasa sebak bila melihat kemiskinan tempat tinggal mereka setiap kali menghantar mereka pulang bercuti...syukurlah apa yang telah Allah kurniakan buat diriku...Sebab itulah anak-anak ku, ayahmu ini seringkali berpesan..belajarlah bersungguh-sungguh demi masa hadapan kalian...jangan jadikan title anak yatim miskin untuk kalian berada dalam penghidupan yang sukar sampai bila-bila...keluarkan lah diri kalian dari kepompong kemiskinan dengan ilmu yang kalian harungi ketika ini.
InsyaAllah...seandaikata ada pihak-pihak yang sudi untuk menghulurkan batuan bagi tujuan pembinaan asrama tersebut, bolehlah terus berhubung dengan pihak pentadbiran. Sesungguhnya sumbangan yang kalian berikan walupun sedikit..memberi seribu makna yang berharga buat Anak-anak Bait Al-Amin disini.

Pengenalan Bait Al-Amin

"BAIT AL-AMIN"
PERTUBUHAN KEBAJIKAN ANAK-ANAK YATIM DAN WARGA MISKIN,
KG. TENGAH PARIT PERAK.

BAIT AL-AMIN adalah merupakan Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim dan Warga Miskin Parit, mula ditubuhkan pada 03hb Oktober 2005 di bawah seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966 dengan No. Pendaftaran : 1731-05-4.
Bait Al-Amin adalah merupakan salah sebuah Badan Kebajikan yang bertanggungjawab menguruskan Hal Ehwal Kebajikan hidup Anak-anak Yatim dan Warga Miskin khusunya di Daerah Perak Tengah.
Ianya terletak di Kampung Tengah Parit iaitu lebih kurang 600 meter dari Pekan Parit. Mempunyai 3 buah asrama untuk anak-anak yatim iaitu dua buah asrama disewakan dengan kadar RM400.00 sebulan manakala sebuah lagi diwakafkan oleh penduduk setempat.
Jumlah keseluruhan Anak-anak Yatim Dan warga Miskin di Bait Al-Amin adalah seramai 46 orang iaitu seramai 31 orang pelajar Aspura dan 15 orang Pelajar Aspuri.Terdapat seramai 5 orang kakitangan yang berkhidmat dengan Pertubuhan bertanggungjawab menguruskan segala hal ehwal kebajikan dan keperluan hidup Anak-anak yatim Dan warga Miskin.
Semestinya pendidikan agama amat dititikberatkan dalam kehidupan anak-anak ini agar mereka menjadi anak-anak yang soleh yang mentaati perintah Allah dalam kehidupan seharian mereka.
Selain daripada itu Kelas Fardu Ain dan Membaca Al-Quran juga diadakan dimana tenaga pengajarnya adalah dari Maahad Tahfiz Al-Quran. Disamping itu juga kelas tambahan turut disediakan yang mana tenaga pengajarnya adalah guru-guru yang berpengalaman yang juga merupakan kakitangan Bait Al-Amin.
Sebagai memenuhi tuntutan agama, Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Dan warga Miskin Parit (BAIT AL-AMIN) menyahut seruan kerajaan dalam usaha murni membasmi kemiskinan agar pihak kami dapat melahirkan insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang khususnya bagi rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan.

Wednesday, November 21, 2007

Salam Bait Al-Amin

Alhamdulillah...jam didinding menunjukkan tepat jam 12.00 tengah malam, mata aku masih lagi belum mahu terlelap. Akhirnya dapat juga aku meluangkan masa untuk menaip sekadar pembuka bicara bagi laman blog yang ingin aku bina.
Sudah lama aku ingin membina satu blog khas bagi Anak-anak Yatim Bait Al-Amin..namun masa yang tidak mengizinkan membuatkan aku terpaksa menangguhkannya sebelum ini.
Tapi...Alhamdulillah, hari ini Allah memberikan aku kekuatan dan masa untuk mencoretkan sepatah dua kata dalam Diari Bait Al-Amin.
Buat anak-anak ku di Bait Al-Amin..terimalah seadanya blog ini, apa yang akan ayah coretkan disini..semuanya tentang secebis kehidupan kalian yang mana masih ada sinar kebahagian dan masih ada yang sayang buat kalian diluar sana.
Ketika Ayah mencoretkan bicara disini...kalian kini mungkin sedang seronok dibuai mimpi yang indah..apatah lagi seronok pulang ke kampung masing-masing semperna cuti persekolahan yang panjang..namun ada juga yang tidak balik...tinggal di teratak usang Bait Al-Amin kerana tidak ada arah tuju untuk pergi...sabarlah wahai anak ku...yang pasti kalian masih ada yang sayang.