Monday, October 19, 2009

NSTP RAI 50 ANAK-ANAK YATIM/ MISKIN BAIT AL-AMIN

NSTP RAI 50 ANAK YATIM SEMPERNA RAYA
(PETIKAN BERITA HARIAN 17HB OKT 2009)









NSTP rai 50 anak yatim sempena raya

SERAMAI 50 anak yatim dari Rumah Anak Yatim dan Miskin Kampung Parit Tengah, Perak diraikan dalam satu majlis amal dan sambutan hari raya anjuran Kelab Kebajikan, Rekreasi dan Budaya, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), baru-baru ini. Tahun ini adalah tahun kelima kelab berkenaan menganjurkan aktiviti sedemikian yang dimulakan sejak 2004 dan kali pertama dilakukan di rumah anak yatim kerana sebelum ini kunjungan mereka hanya tertumpu di sekolah tahfiz dan memberi sumbangan kepada agensi yang memerlukan. Program selama dua hari itu bertujuan untuk meraikan anak yatim dan miskin agar dapat bersama menikmati serta merasai kemeriahan Aidilfitri selain berkongsi kasih sayang bersama mereka yang kehilangan tempat bergantung dan memberi sokongan moral agar mereka tidak berasa terpinggir.
Selain lawatan dan jamuan hari raya, acara sukaneka turut diadakan bertujuan membina kreativiti dan mengasah bakat mereka. Pengurus Kanan Jabatan Sumber Manusia NSTP, Abdul Shukor Ali, berkata program itu adalah program tahunan kelab mereka dan tahun ini mereka membuat kelainan apabila ahli jawatankuasa yang terbabit bergotong-royong memasak bersama-sama penghuni untuk mengeratkan lagi silaturahim sesama mereka. “Tujuan utama lawatan ini untuk memberi kasih sayang kepada mereka yang sudah lama tidak merasai belaian insan bergelar ibu mahupun ayah dan berkongsi kegembiraan seperti kanak-kanak lain.
“Kita beri apa yang termampu dan semoga kehadiran kami memberi sedikit kegembiraan kepada penghuni di sini dan semoga mereka terus tabah menempuh hari mendatang kerana di luar sana banyak dugaan yang menanti,” katanya. Dalam lawatan itu, sumbangan beg sekolah, buku, tabung, tuala serta duit raya turut diberikan sebagai cenderahati untuk mereka.
Sementara itu, Pengetua rumah berkenaan, Rozelan Zamzuri, berkata dia bersyukur kerana masih ada pihak sudi menjengah anak-anak yatim di rumah itu walaupun jauh dari ibu kota. “Kedatangan mereka membawa 1,000 erti kepada penghuni di sini kerana sebahagian mereka tidak dikunjungi saudara mara mahupun ibu atau ayah ketika hari raya,” katanya.

No comments: