Tuesday, September 16, 2008

MALAM KASIH RAMADHAN: ZIARAH LEBARAN

MURNINYA HATI ERMA
SEBAHAGIAN petugas program Malam Kasih Ramadan yang memberi
makna cukup mendalam buat Erma dan keluarga

Lebih 500 anak yatim dan warga emas diundang memeriahkan Malam Kasih Ramadan:
Ziarah Lebaran
PADA senja itu, langit Ramadan di kawasan East Garden Lawn, di Hotel Palace Of The Golden Horses cukup tenang dan mendamaikan. Terang bulan yang menyinari semesta alam serta cuaca indah tanpa menampakkan tanda-tanda hendak hujan seperti lazimnya seakan-akan merestui projek amal bakti yang sedang diusahakan figura yang cukup terkenal dalam industri hiburan tanah air ini.
Dari jauh lagi kelihatan dia terkejar ke sana ke mari bagi memastikan majlis yang dianjurkan setahun sekali ini berlangsung dalam keadaan sempurna. Biarpun agak lelah namun di wajahnya tidak terukir situasi seperti itu. Sebaliknya, apa yang dilihat adalah terpancar cahaya kepuasan yang mungkin tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Saban tahun, setiap kali bulan yang penuh keberkatan ini menjengah, bagaikan satu rutin buat Erma Fatima untuk menganjurkan Malam Kasih Ramadan: Ziarah Lebaran, sebuah acara yang berkonsepkan amal jariah.
Dan untuk tahun ini, Erma menerusi badan amal Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia melakukannya dengan cara yang sedikit berbeza dari tahun lalu apabila memilih lokasi luar serta mengundang lebih 500 anak yatim dan warga emas dari seluruh negara.


SUASANA meriah Malam Kasih Ramadan 2008: Ziarah Lebaran, Sabtu lalu.

“Alhamdulillah, tahun ini ada ramai pihak yang sudi menghulurkan bantuan dan ini membolehkan kami mengundang seberapa ramai anak yatim dan warga emas untuk bersama-sama memeriahkan majlis ini.
“Setiap tahun kami akan bekerjasama dengan rumah kebajikan yang tidak ditanggung kerajaan. Bukannya apa, rumah kebajikan seperti ini biasanya lebih daif dan lebih memerlukan bantuan mereka.
“Saya juga bersyukur kerana program ini berlangsung dengan sempurna walaupun tempoh persediaan penganjurannya tidak sampai dua minggu,” ujar Erma ketika ditemui sejurus selepas acara itu berakhir.
Katanya, kanak-kanak terbabit pada sebelah siangnya turut menghadiri kem motivasi bagi memantapkan ilmu kerohanian mereka, iaitu satu aktiviti yang dibuat pada setiap tahun..



PERSEMBAHAN Siti yang sentiasa dikelilingi kanak-kanak sewaktu menyampaikan
lagu.(Gambar kanan) NOORKHIRIAH mendeklamasikan sajak berjudul
Ibu dengan penuh perasaan.


Bukan sekadar menghimpunkan yang kurang bernasib baik serta menjamu mereka dengan hidangan lazat serta memberi sumbangan duit raya tetapi juga ia memercikkan makna apabila Erma mempertemukan kembali anak
dan ibu serta ayah yang sudah lama terpisah.
“Memang menjadi hasrat saya untuk menyatukan semula hubungan anak dan ibu bapa mereka yang selama ini terputus sebaik saja mereka menghantar kedua ibu bapa mereka ke rumah orang tua-tua. Tapi, biasalah, tak semua yang mahu bertemu dengan ibu bapa mereka.
“Apabila saya hubungi mereka, ada saja alasan yang diberikan. Tapi, saya bersyukur kerana ada tiga keluarga yang sudi untuk berbuat demikian. Gembira dan sayu apabila melihat orang tua terbabit begitu teruja melihat anak kesayangan berada di depan mata mereka,” ceritanya lagi yang turut dibantu 10 kakitangannya.
Sambung Erma lagi, hasrat murni itu akan tetap diteruskan pada masa hadapan. Bagaimanapun, pendekatannya agak berbeza dengan apa yang dilakukannya itu.
“Mungkin saya akan satukan mereka supaya mereka boleh sambut hari raya bersama-sama.Dan tak semestinya mereka menyambut hari raya di rumah. Mungkin kami akan menyewa chalet dan anjurkan sambutan itu di sana.
“Apapun, ini semua masih dalam perancangan dan saya serta semua pihak dari yayasan a kan berusaha untuk menjadikan ia satu kenyataan,” jelas Erma yakin.
Artis popular turun padang
Hasrat murni Erma untuk sama-sama membahagiakan mereka yang kurang bernasib baik nampaknya mendapat perhatian ramai pihak. Bukan saja dari segi penajaan tetapi kebanyakan artis yang hadir memeriahkan acara itu bukan calang-calang.
Kehadiran Datuk Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, Mawi, Amy Search, Awie, Farawahida, Siti Sarah,Waheeda, Art Fadzil serta Ekin dan Fahrin yang bertindak sebagai pengacara menjadikan acara itu cukup meriah apatah lagi apabila mereka ini sudi menyumbangkan suara mereka mengalunkan pelbagai rentak lagu sebagai santapan halwa telinga tetamu yang hadir.
Paling mengusik perasaan apabila pelakon berkarakter, Noorkhiriah mengundang air mata tetamu sewaktu mendeklamasikan sajak berjudul Ibu. Nada suara penuh pilu serta penuh penghayatan menyebabkan suasana hening seketika apabila masing-masing tersentuh dengan baris ayat dari sajak yang cukup menyentuh kalbu itu.
Kemeriahan malam itu diteruskan dengan persembahan nyanyian lagu raya dari artis yang diundang dan kemuncak acara apabila Siti menyanyi sambil dikelilingi anak-anak yatim yang begitu ralit bermain bunga api.
Terbayang keseronokan di wajah anak-anak itu apabila mereka berpeluang mendekati penyanyi yang selama ini hanya dapat dilihat menerusi kaca TV. Setidak-tidaknya acara seperti dapat melupakan seketika kesedihan di hati mereka yang akan menyambut hari lebaran tanpa orang tersayang di sisi.
Sebagai penutup acara, Malam Kasih Ramadan:Ziarah Lebaran ini menampilkan persembahan Mawi yang menyampaikan lagu Rindu Padanya ciptaan Yassin. Program ini turut mendapat kerjasama RTM dan akan disiarkan pada Aidilfitri yang bakal menjengah Oktober depan


Oleh Farihad Shalla Mahmud

mailto:Mahmudfarihad@bharian.com.my

No comments: