Thursday, November 29, 2007

Melakar Cinta Di Pintu Syurga


Alhamdulillah..bertemu lagi di sini,..terfikir sekejap apa yang nak aku coretkan ketika ini...ha baru aku teringat akan kunjungan kumpulan nasyid FAR EAST baru-baru ni sebelum cuti sekolah bermula.
Alhamdulillah...aku nak mengambil kesempatan di sini nak ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada kumpulan nasyid Far East kerana sudi bertandang ke teratak usang Bait Al-Amin.
Sesungguhnya kedatangan Far East ke Bait Al-Amin memang dinanti-nantikan oleh anak-anak di sini.Terpancar kegembiraan yang amat sangat bila Fadzli, Nabil, Wan, Man dan abag Itolara sempat beramah mesra dengan anak-anak disini walaupun mereka agak keletihan dengan jadual yang begitu padat. Sehari sebelum Far East berkunjung ke Bait Al-Amin, anak-anak Bait Al-Amin telah bertolak ke Ipoh untuk menyaksikan konsert Far East semperna Bulan Penghayatan Islam di Politeknik Ungku Omar.Jelas terpancar kepuasan di hati anak-anak tersebut.Alhamdulillah seperti yang dijanjikan pada keesokan harinya Far East bercadang untuk menziarahi anak-anak di Bait Al-Amin...kunjungan mereka memang aku alu-alukan, aku mengambil kesempatan untuk menjemput mereka makan tengahhari bersama anak-anak di Bait Al-Amin turut serta seramai 40 orang pelajar Tahfiz Al-Quran yang aku jemput.Hidangan masakan kampung memang menambah selera mereka hendak pula menu utama Gulai Tempoyak ..bertambah-tambah abang Itolara.
Selepas Solat Zohor yang diimamkan oleh Nabil, anak-anak disini mengambil kesempatan untuk mengenali abang-abang Fareast dengan lebih dekat lagi...Alhamdulillah, Far East tidak keberatan untuk menyampaikan beberapa lagu yang diminta sendiri oleh anak-anak disini.Lagu "menanti di alam barzah" pastinya menjadi pilihan anak-anak disini. Tengok aja tirai langsir tempat Far East menyanyi semuanya dipersiapkan oleh anak-anak Bait Al-Amin..Alhamdulillah sebelum Far East meninggalkan anak-anak disini banyak kata-kata semangat ditinggalkan buat anak-anak agar mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah yang berguna satu hari nanti..terima kasih abg Itolara atas pemberian CD tempoh hari.Akhir coretan aku..sekali lagi nak mengucapkan berbanyak-banyak kepada Far East yang sudi menziarahi kami di sini.Buat juniorku Fadzli...sesungguhnya aku cukup berbangga denganmu..Buat Abang Itolara...terima kasih banyak-banyak atas keluaran album khas untuk membantu anak-anak yatim di Bait Al-Amin dengan "Melakar Cinta Di Pintu Syurga"....

Wednesday, November 28, 2007

Terima Kasih Abang Long..dari adik-adik Bait Al-Amin.


Abang Zul duduk ditengah-tengah diapit oleh Iswandi dan Faizal.

Alhamdulillah...sambung lagi catatan aku di blog ini. Dah dua hari tak mencoretkan sesuatu di sini...agak sibuk sedikit dengan urusan kerja yang perlu diselesaikan. Alhamdulillah progress kerja di tapak berjalan lancar mengikut jadual yang telah dirancang. Isnin baru ni hari terakhir abg zul (abg Sulong) menduduki paper bagi exam spm, harap-harap sepanjang exam tu dia dapat buat yang terbaik untuk dirinya...bagi aku hanya mampu berdoa dan memberi kata-kata semangat buat dirinya...terharu aku bila melihatnya sehari sebelum exam SPM bermula, dia minta kebenaran untuk menghubungi ibunya di Kedah.Terngiang-ngiang ditelinga aku..."Mak ini Zul ni, mak...esok Zul dah mula exam SPM..mak tolong Doakan Zul, ampunkan segala dosa Zul , halalkan makan minum Zul..."sambil air matanya berlinang membasahi pipi.Tapi aku pasti setiap hari tanpa jemu si ibu tetap mendoakan kejayaan buat anaknya.Ahmad Zulhilmi atau panggilan di Bait Al-Amin abang Zul, merupakan pelajar sulung yang menginap di sini...trajedi tsunami yang berlaku keatas keluarganya pasti tak akan pernah luput dalam ingatannya..menumpang kasih di Bait Al-Amin bersama seorang lagi adiknya Norshafiqah.Sesuai sebagai abang long di sini ianya menjadi contoh kepada adik-adik yang lain.Abg Zul banyak membantu secara tak langsung tanggungjawab aku di sini...menjadi imam kepada adik-adik yang lain, meluangkan masa mengajar mengaji bagi anak-anak bait al-amin yang lain, pandai menghormati orang yang lebih dewasa..penuh dengan adab dan sopan, bertanggungjawab dalam segala hal serta menjadi pembimbing kepada rakan-rakan yang lain...bagi aku terasa kehilangannya pada sessi persekolahan yang akan datang bila dia tak ada di Bait Al-Amin...mungkin dia perlukan masa yang banyak untuk diluangkan bersama ibunya di kampung sebelum result SPM keluar nanti...semoga berjaya dengan cemerlang abang Zul..Ayah, abie dan Umie tetap mendoakan kejayaan buat abang Zul.

Monday, November 26, 2007

Ini lah Dunia...

Alhamdulillah...bertemu lagi aku dalam blog ni, terima kasih buat sahabat-sahabat yang telah sudi menziarah ke blog Bait Al-Amin,..blog yang hanya baru setahun jagung, dapat juga aku bina walaupun aku bukan pakar dalam membina laman blog atau web ni...tapi dengan izin Allah terbina juga.
Sedar tak sedar dah hampir seminggu cuti sekolah berlalu...bagi aku terasa sangat kesunyiannya bila anak-anak Bait Al-Amin semuanya balik bercuti..cuma yang tinggal hanya 3 orang yang tak balik sebab dah tak ada arah tuju nak balik kemana. Biasanya saban hari bermula jam 5.00 pagi sampailah 11.00 Malam ada sahaja kerenah anak-anak ni yang perlu aku uruskan baik yang kecil sekali mahupun yang telah dewasa..kalau dah masuk waktu solat tu kalau ada yang lewat masuk surau...apa lagi bergegarlah suara ni tak payah nak pakai microphone. Kalau diaorang tak ada memang terasa sunyinya...tapi tak kisahlah, inilah masa anak-anak ni untuk merasa kasih sayang dari bonda mereka. Bagi aku walau pun anak-anak ni tak ada di asrama ketika ini...kerja-kerja aku banyak yang harus perlu aku selesaikan. Esok aku bercadang nak ke site tapak projek kat lenggong,..progress kerja kat tapak perlu juga aku kena ambik tau..bila teringat kes bangunan runtuh kat Tasik Banding baru-baru ni...satu pengajaran yang perlu aku ambil supaya ianya tidak berlaku pada diri aku.
Bila aku terpandang 3 orang anak-anak Bait Al-Amin yang ada kat Asrama ni...kesian sangat kat diaorang, dahlah anak yatim..macam tak ada waris yang ambil peduli...takpalah selagi ayah ada disinilah tempat kalian sebenarnya...belajarlah rajin-rajin mudah-mudahan menjadi orang yang berguna satu hari nanti...cuma yang aku risau bila diaorang dah berjaya nanti, takut ramai pulak waris yang mengaku saudara ...inilah dunia.

Sunday, November 25, 2007

Santai Sekejap..

Sekadar Bersantai Dan Rileks sekejap..
Kisah 1.
Sebaik sahaja mengambil tempat duduk di ruang menunggu sebuah klinik,Shan terpandang Amin sedang menangis teresak-esak. Dia segera mendekati Amin.
>Shan : Kenapa menangis?
> Amin : Saya datang untuk ujian darah.
> Shan : Awak takut ke?
> Amin : Bukan itu sebabnya. Semasa ujian darah dijalankan, mereka telah terpotong jari saya.(Mendengarkan penjelasan Amin, Shan menangis.)
> Amin : Eh, Kenapa pula awak menangis?
> Shan : Saya datang untuk ujian air kencing...
Kisah 2.
Seorang atok membawa cucunya ke pejabat pos untukmenghantar surat .. Cucunya bertanya bila melihat atoknya memasukkan surat ke dalam tong berwarna merah."Atok buat apa tu?"."Atok bagi surat kat kawan atok,cu!" jawap atoknya.Cucunya bertanya lagi, "Apa bangang sangat kawan atok duduk dalam tong merah tu?"
Kisah 3.
Seorang pegawai polis masuk ke bilik mayat sebuah hospital untuk menyiasat punca kematian tiga lelaki sekaligus. Selepas memeriksa mayat-mayat itu, dia bertanya kepada penjaga bilik berkenaan.
Polis : Mengapa ketiga-tiga mayat tersenyum?
> Penjaga : Lelaki pertama sedang bersanding, apabila tiba-tiba diserang strok.Lelaki kedua pula khabarnya menang loteri dan mati serangan sakit jantung manakala yang ketiga disambar petir.
> Polis : Hah! Kenapa disambar petir pun tersenyum?
> Penjaga : Masa tu dia ingat orang sedang ambil gambarnya...

Saturday, November 24, 2007

Majlis Qurban Dan Aqiqah 1428H/2007

Alhamdulillah...Syukur kehadrat Ilahi kerana masih lagi dipanjangkan usia untuk terus menikmati kehidupan di alam maya ini. InsyaAllah seperti tahun-tahun yang lepas Rumah Anak-anak Yatim Bait Al-Amin akan menganjurkan Majlis Ibadah Qurban Dan juga Aqiqah. Untuk tahun ini besemperna kedatangan Aidiladha, BAIT AL-AMIN sekali lagi turut serta dalam mengadakan Majlis Ibadah Qurban dan Aqiqah tersebut. Sehubungan dengan itu, pihak Bait Al-Amin mengalu-ngalukan muslimin dan juga muslimat yang ingin turut serta dalam majlis Ibadah Qurban tersebut.
Majlis Ibadah Qurban dan Aqiqah tersebut akan diadakan pada Hari Raya Haji pertama 2ohb December 2007 bertempat di perkarangan Rumah Anak-anak Yatim Bait Al-Amin. Bayaran yang dikenakan untuk satu bahagian adalah sebanyak RM350.00, Bayaran boleh dibuat selewat-lewatnya seminggu sebelum majlis tersebut diadakan kepada pihak pentadbiran Bait Al-Amin.Sebarang pertanyaan berhubung perkara tersebut muslimin dan muslimat boleh berhubung dengan pihak Pentadbiran Bait Al-Amin En. Rozelan Bin Zamzuri HP: 017-4013738 atau En. Norizan Bin Razali HP: o13-5074905.

Thursday, November 22, 2007

Aktiviti Anak-anak Bait Al-Amin

Disinilah tempat mereka berlindung dari panas dan hujan, disinilah tempat mereka menumpang kasih dan sayang...disini jugalah tempat mereka bermain seharian di waktu petang. Walaupun mereka bukan dari darah daging yang sama, namun keakraban sesama mereka jelas terpancar dalam satu keluarga yang besar. Walaupun terdengar jerit dan tawa hilai mereka...namun disudut hati mereka siapa yang tahu....

Anak-anak Puteri Bait Al-Amin mengaji Al-Quran setiap hari selepas solat Maghbrib dengan dibantu oleh seorang Ustazah. Apa yang aku harapkan agar mereka dapat menjadi anak-anak yang solehah mentaati perintah Allah dan juga ibu mereka yang tidak pernah mengira penat dan lelah demi mencari sesuap nasi untuk rezeki mereka.

Anak-anak Putera Bait Al-Amin juga turut mengaji Al-Quran setiap kali selepas Solat Maghbrib..walau sesibuk mana aku akan pastikan dapat mengajar mereka dan memberi masa buat mereka untuk mengaji Al-Quran...mudah-mudahan dapat mereka sedekahkan bacaan Al-Quran mereka buat ayahanda yang telah pergi buat selama-lamanya...mudah-mudahan mereka menjadi anak yang soleh.

Anak-anak Puteri Bait Al-Amin turut meluangkan masa di dapur untuk membantu Umie memasak dalam masa yang terluang terutama dihujung minggu.Mudah-mudahan mereka tidak janggal untuk ke dapur bila sudah menjangkau dewasa kelak.

Bagitu juga Anak-anak Putera Bait Al-Amin tidak melepaskan peluang untuk membantu Umie bagi kerja-kerja di dapur sekali-sekala. Mereka dapat merasakan penat lelah Umie memasakkan makanan mereka setiap hari dari pagi hingga malam....mudah-mudahan dengan bantuan yang dihulurkan dapat meringankan beban Umie.

Tabung Pembinaan Asrama

Alhamdulillah....bisa lagi aku mencoretkan bicara di ruangan ini.Alhamdulillah berkat bulan Ramadahan yang baru sahaja berlalu..atas sumbangan orang ramai, pihak Bait Al-Amin telah pun berjaya membeli sebidang tanah bersebelahan dengan asrama yang ada sekarang bagi tujuan Pembinaan Dua Blok Asrama Pelajar Dua Tingkat dan Satu Tingkat...Namun yang aku perlu usahakan sekarang ini untuk mendapatkan dana bagi tujuan pembinaan asrama tersebut yang melibatkan kos pembinaan sebanyak RM150,000.00.
Buat masa kini, anak-anak Bait Al-Amin tinggal di rumah kampung yang dijadikan Asrama pelajar.Namun rumah yang sudah agak uzur terutama dari segi pendawaian elektrik seringkali menghantui fikiran ku..mudah-mudahan tidak ada apa-apa kejadian buruk yang berlaku..namun aku sedar, itu sahaja yang termampu untuk aku sediakan buat anak-anak ku pada ketika dan di saat ini..namun aku bersyukur kalian memahami dan begitu tabah menginap di asrama tersebut...kalau hujan terlalu lebat anak-anak Bait Al-Amin sudah alah tegar lagi biasa.
Mudah-mudahan hasrat aku untuk melihat mereka tinggal ditempat yang lebih selesa akan tercapai juga...syukurlah anak-anak Bait Al-amin ini tidak merungut..kerana penghidupan asal mereka memang agak terlalu dhaif...adakala aku merasa sebak bila melihat kemiskinan tempat tinggal mereka setiap kali menghantar mereka pulang bercuti...syukurlah apa yang telah Allah kurniakan buat diriku...Sebab itulah anak-anak ku, ayahmu ini seringkali berpesan..belajarlah bersungguh-sungguh demi masa hadapan kalian...jangan jadikan title anak yatim miskin untuk kalian berada dalam penghidupan yang sukar sampai bila-bila...keluarkan lah diri kalian dari kepompong kemiskinan dengan ilmu yang kalian harungi ketika ini.
InsyaAllah...seandaikata ada pihak-pihak yang sudi untuk menghulurkan batuan bagi tujuan pembinaan asrama tersebut, bolehlah terus berhubung dengan pihak pentadbiran. Sesungguhnya sumbangan yang kalian berikan walupun sedikit..memberi seribu makna yang berharga buat Anak-anak Bait Al-Amin disini.

Pengenalan Bait Al-Amin

"BAIT AL-AMIN"
PERTUBUHAN KEBAJIKAN ANAK-ANAK YATIM DAN WARGA MISKIN,
KG. TENGAH PARIT PERAK.

BAIT AL-AMIN adalah merupakan Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim dan Warga Miskin Parit, mula ditubuhkan pada 03hb Oktober 2005 di bawah seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966 dengan No. Pendaftaran : 1731-05-4.
Bait Al-Amin adalah merupakan salah sebuah Badan Kebajikan yang bertanggungjawab menguruskan Hal Ehwal Kebajikan hidup Anak-anak Yatim dan Warga Miskin khusunya di Daerah Perak Tengah.
Ianya terletak di Kampung Tengah Parit iaitu lebih kurang 600 meter dari Pekan Parit. Mempunyai 3 buah asrama untuk anak-anak yatim iaitu dua buah asrama disewakan dengan kadar RM400.00 sebulan manakala sebuah lagi diwakafkan oleh penduduk setempat.
Jumlah keseluruhan Anak-anak Yatim Dan warga Miskin di Bait Al-Amin adalah seramai 46 orang iaitu seramai 31 orang pelajar Aspura dan 15 orang Pelajar Aspuri.Terdapat seramai 5 orang kakitangan yang berkhidmat dengan Pertubuhan bertanggungjawab menguruskan segala hal ehwal kebajikan dan keperluan hidup Anak-anak yatim Dan warga Miskin.
Semestinya pendidikan agama amat dititikberatkan dalam kehidupan anak-anak ini agar mereka menjadi anak-anak yang soleh yang mentaati perintah Allah dalam kehidupan seharian mereka.
Selain daripada itu Kelas Fardu Ain dan Membaca Al-Quran juga diadakan dimana tenaga pengajarnya adalah dari Maahad Tahfiz Al-Quran. Disamping itu juga kelas tambahan turut disediakan yang mana tenaga pengajarnya adalah guru-guru yang berpengalaman yang juga merupakan kakitangan Bait Al-Amin.
Sebagai memenuhi tuntutan agama, Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Dan warga Miskin Parit (BAIT AL-AMIN) menyahut seruan kerajaan dalam usaha murni membasmi kemiskinan agar pihak kami dapat melahirkan insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang khususnya bagi rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan.

Wednesday, November 21, 2007

Salam Bait Al-Amin

Alhamdulillah...jam didinding menunjukkan tepat jam 12.00 tengah malam, mata aku masih lagi belum mahu terlelap. Akhirnya dapat juga aku meluangkan masa untuk menaip sekadar pembuka bicara bagi laman blog yang ingin aku bina.
Sudah lama aku ingin membina satu blog khas bagi Anak-anak Yatim Bait Al-Amin..namun masa yang tidak mengizinkan membuatkan aku terpaksa menangguhkannya sebelum ini.
Tapi...Alhamdulillah, hari ini Allah memberikan aku kekuatan dan masa untuk mencoretkan sepatah dua kata dalam Diari Bait Al-Amin.
Buat anak-anak ku di Bait Al-Amin..terimalah seadanya blog ini, apa yang akan ayah coretkan disini..semuanya tentang secebis kehidupan kalian yang mana masih ada sinar kebahagian dan masih ada yang sayang buat kalian diluar sana.
Ketika Ayah mencoretkan bicara disini...kalian kini mungkin sedang seronok dibuai mimpi yang indah..apatah lagi seronok pulang ke kampung masing-masing semperna cuti persekolahan yang panjang..namun ada juga yang tidak balik...tinggal di teratak usang Bait Al-Amin kerana tidak ada arah tuju untuk pergi...sabarlah wahai anak ku...yang pasti kalian masih ada yang sayang.